MENGEMBALIKAN SEKOLAH VOKASIONAL...

Hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengembalikan semula sebahagian daripada sekolah-sekolah teknik kepada sekolah vakasional adalah sesuatu yang amat dialu-alukan dan wajar! Reaksi pertama saya ialah, saya bersyukur dan sudah seharusnya dilakukan sejak sekian lama. Ia juga dilihat sebagai suatu tindakan yang boleh mengatasi banyak masalah berkaitan pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.

Apabila dasar Kementerian Pelajaran yang menghapuskan semua sekolah-sekolah vokasional dengan alasan untuk meningkatkan taraf sekolah-sekolah vakasional, ia memberikan kesan yang besar terutamanya kepada golongan pelajar yang lemah di dalam akademik tetapi baik di dalam aspek kemahiran. Masalah timbul apabila syarat kemasukan ke sekolah-sekolah teknik ini dinaikkan dan menyebabkan pelajar yang lemah di dalam akademik ini kehilangan tempat untuk meneruskan pengajian mereka seperti semasa wujudnya sekolah vakasional dahulu.

Benar, kementerian telah mewujudkan kelas-kelas MPV di sekolah-sekolah. Malangnya timbul beberapa masalah:

1. Pelajar MPV berasa rendah diri berbanding dengan pelajar lain.
2. Pelajar tidak berminat belajar subjek akademik lain, menyebabkan berlaku masalah disiplin
apabila pelajar tidak minat berada di dalam kelas. Mereka jadi liar disebabkan tidak mampu
mengikuti mata pelajaran akademik berbanding subjek kemahiran ini.

Akibatnya , rata-rata pelajar kelas MPV tidak mampu meneruskan pembelajaran di peringkat lebih tinggi selepas SPM kerana kebanyakan mereka gagal di dalam peperiksaan tersebut. Masalah disiplin juga meningkat dengan kehadiran pelajar-pelajar ini.

Oleh itu, wajar sekali sekolah-sekolah vakasional ini dikembalikan semula kepada kedudukannya sebelum ini.

Senario semasa juga mewajarkan kewujudan semula sekolah vokasional ini. Majikan kini lebih berminat untuk mendapatkan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran berbanding mereka yang mempunyai pendidikan asas selepas SPM. Keperluan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing juga harus dilihat sebagai suatu kewajaran kepada usaha melahirkan tenaga kerja tempatan yang mahir melalui lepasan sekolah vokasional. Sudah sampai masanya kementerian dan kerajaan menumpukan usaha yang lebih berfokus dalam menentukan bentuk tenaga kerja yang hendak dilahirkan selepas SPM. Kalau dibuat kajian, kita akan dapati ramai usahawan atau kontraktor yang berjaya dahulu adalah lahir daripada sekolah vokasional.

Usaha ini harus disokong oleh semua pihak khususnya ibubapa. Ramai ibubapa yang tidak setuju jika ada anak mereka yang di tempatkan di kelas MPV. Mereka melihat kelas-kelas begini sebagai kelas pelajar lemah. Ibubapa tidak mahu menerima hakikat keadaan anak mereka yang tidak mampu mengikuti pembelajaran di kelas-kelas akademik. Mereka tidak melihat potensi anak mereka di sudut kemahiran yang ada pada anak -anak mereka. Diharapkan dengan adanya sekolah vokasional ini semua perasaan ini akan dapat diatasi demi masa depan anak-anak dan generasi masa depan. Sekurang-kurang kita masih tidak terlambat daripada melihat membiarkan generasi kita terus hanyut dan terbiar...

0 comments:

Post a Comment

Never Give Up-

STEPHEN COVEY- 10/90 PRINCIPLE