BOLASEPAK MALAYSIA...

Pertama sekali saya memohon maaf kerana memang agak kritis apabila bercakap tentang bolasepak dan sukan di Malaysia. Apabila membaca berita peluang Malaysia ke Sukan Asia tertutup, saya puas berfikir , apalagi yang sepatutnya FAM lakukan untuk meningkatkan mutu bolasepak di Malaysia. Tajuk akhbar yang saya baca menyatakan, " peluang kita ke Piala Asia tertutup!" diikuti pula dengan , "kita akan tunjuk kemampuan di Sukan SEA".

Saya telah mengikuti perkembangan bolasepak Malaysia ini sejak sekian lama. Ada beberapa perkara yang mungkin nampak kecil pada pandangan FAM tetapi wajar difikirkan! Antaranya:

1. Target sasaran yang diletakkan oleh setiap jurulatih kita adalah terlalu rendah. Kita masih meletakkan target sekadar 'mencari pengalaman', dapat masuk suku akhir ", dan sebagainya yang memperlihatkan target yang rendah. Sedangkan negara lain bercita-cita meletakkan sasaran menang pingat, kita sekadar 'mencari pengalaman!' Secara psikologinya, ini akan mengundang usaha dan komitmen yang rendah daripada setiap pemain dan jurulatih! Malaysia sepatutnya sudah berada jauh di depan berbanding negara-negara serantau. Kita sudah terlalu jauh ketinggalan sedangkan FAM sekadar berpuas hati dan mensasarkan pencapaian di tahap rendah!

2. Para pegawai dan jurulatih juga harus lebih komited dan bertanggungjawab dengan target yang disasarkan. Jika tidak mampu mencapainya, pegawai atau jurulatih harus berani bertanggungjawab dan meletak jawatan. Di Malaysia nampaknya orang kurang mahu bertanggungjawab. Biarlah berpuluh kali gagal, tetapi muka yang sama masih memegang jawatan tersebut tanpa rasa bersalah! Lihat komitmen jurulatih di Eropah yang berani meletak jawatan atau dipecat jika gagal dalam misi mereka. Mungkin FAM kena memilih jurulatih yang bermotivasi lebih tinggi dan berani meletakkan target yang tinggi untuk bolasepak Malaysia bergerak lebih pantas dan ke depan.

3. Liga bolasepak Malaysia juga perlu diberikan nafas dan wajah baru agar tidak terus kehilangan penonton. Perlu diakui liga Malaysia semakin tidak menarik, hambar dan hilang kualiti! Perubahan yang drastik dan lebih berani perlu dilakukan oleh FAM dan pengurusan bolasepak negeri untuk mengembalikan mutu bolasepak kita. Pemain import yang berkualiti perlu dibawa masuk semula untuk membolehkan pemain kita mendapat pengalaman bermain dengan corak permainan luar negara dan belajar teknik permainan profesional.

4. Aspek pemakanan pemain dan diet juga perlu diberikan perhatian agar pemain kita mempunyai kekuatan fizikal dan saiz yang boleh menandingi pemain luar negara. Saiz pemain kita pada hakikatnya semakin mengecil berbanding pemain lain di rantau ini! Pemain perlu dididik tentang aspek pemakanan dan bukannya lokek dengan wang gaji puluhan ribu sehinggakan aspek pemakanan diabaikan! FAM mungkin boleh buat kajian mengenai saiz pemain kita berbanding Korea, Jepun , Singapura hatta Vietnam.

5. Saya juga melihat antara punca kemerosotan bolasepak kita adalah berpunca daripada sistem pertandingan di peringkat sekolah lagi. Lihatlah bagaimana teruknya sistem kalah mati dan berpusat yang dijalankan di kebanyakan daerah atau negeri bagi pertandingan yang melibatkan sekolah-sekolah. Pelajar hanya berlatih sekadar 2 minggu dan bermain untuk 3 hari dalam setahun. Selepas kalah, mereka akan mula berlatih semula pada tahun hadapannya. Bermakna dalam setahun, hanya 2 minggu sahaja pelajar bermain! Benar kita ada sekolah sukan, akademi bolasepak dan sebagai, tetapi soalnya berapa kerat pemain yang dapat memasuki pusat-pusat sebegitu! Kesannya kita amat kekurangan pemain di peringkat kebangsaan. Kita kekurangan pelapis.

Banyak lagi penyakit bolasepak Malaysia ini. Soalnya adakah FAM benar-benar sedar.

0 comments:

Post a Comment

Never Give Up-

STEPHEN COVEY- 10/90 PRINCIPLE