Hoki vs Bolasepak Malaysia

Topik berkaitan dengan sukan , sentiasa menjadi suatu topik yang amat banyak diperkatakan oleh rakyat Malaysia khususnya para peminat dan penyokong pasukan . Apatah lagi kalau ia melibatkan pasukan kebangsaan. Antara sukan yang popular dan hangat diperkatakan ialah sukan badminton, bola sepak dan hoki. ini memandangkan ketiga-tiga jenis sukan ini merupakan sukan yang popular dan pernah mencatat kejayaan besar di peringkat antarabangsa dan merupakan antara sukan yang disegani oleh negara lain sebelum ini.

Nasib sukan badminton walau bagaimanapun masih dianggap baik kerana kejatuhan dan kemorosotannya tidaklah ketara . Pencapaiannya walaupun tidak secara konsisten, namun masih mampu mencata kejayaan yang tidak memalukan .

Berbeza pula dengan nasib sukan bolasepak  dan hoki negara. Pasukan hoki negara yang pernah mendapat tempat keempat di dalam pertandingan Piala Dunia 1975  di Kuala Lumpur, kini mengalami kemerosotan yang amat ketara. Apatahlagi apabila kalah di dalam semua perlawanan di pertandingan Piala Dunia baru-baru ini dan kekalahan yang paling memalukan apabila kalah kepada Trinidad & Tobago di dalam Sukan Komenwelth yang baru saja tamat di Glasgow , Scotland.

Nasib yang lebih malang lagi adalah yang dialami oleh pasukan bolasepak negara yang terus terperosok ke ranking bawah.

Namun apa yang saya cuba ketengahkan di sini ialah tentang peri pentingnya kita memiliki pegawai yang berkemahiran tinggi dan mempunyai visi yang hebat untuk mengubah nasib pasukan kebangsaan kita. Kita lihat pasukan hoki negara , semenjak bertukarnya jurulatih prestasi pasukan hoki negara merosot dengan teruk. Apakah punca yang menyebabkan ini terjadi ?

Kemungkinan di sinilah letakknya, betapa pentingnya pengalaman dan kredibeliti jurulatih itu di dalam merancanakan kemajuan pasukan. Jurulatih sama seperti seorang pemimpin , harus punyai kemahiran dan minda hebat untuk membawa pasukan ke mercu kejayaan. Jurulatih mestilah berani membuat percubaan dan berani  mengambil risiko membawa perubahan di dalam hal pemilihan pemain dan rejim latihan yang berkesan. Jurulatih juga harus mempunyai minda kelas pertama dan visi untuk menjadi yang terbaik. Lihatlah pasukan-pasukan lain di dunia ini yang berubah dengan kehadiran jurulatih yang hebat. Manchester United yang terumbang ambing semasa kendalian Davis Moyes , kini kembali bertenaga dengan kehadiran Louis Van Gal.

Soalnya adakah jurulatih Malaysia layak untuk memimpin pasukan negara.


ANTARA PERATURAN..HUKUMAN DAN BAGAIMANA MELAKSANAKANNYA...

Sepanjang penglibatan sebagai guru selama lebih 30 tahun (sehingga kini), saya banyak melibatkan diri dan di'arah'kan untuk mejalankan tugas sebagai Ketua Guru Disiplin dan membantu urusan disiplin.

Sepanjang 30 tahun itu, saya telah memegang jawatan sebagai Ketua Guru Disiplin selama 12 tahun berturut-turut, menjawat jawatan GPK HEM sebanyak 2 kali dan Ketua Bidang ,  Penyelia petang dan GPK Pentadbiran. Walaupun jawatan-jawatan tersebut ada yang tidak berkaitan dengan disiplin secara terus, namun saya telah diminta untuk membantu urusan disiplin. Ke mana saja saya pergi berkhidmat, pengetua sekolah berkenaan akan meminta saya membantu urusan disiplin kerana mereka mendapat maklumat daripada bekas pengetua saya . Saya mengambil tugas itu sebagai cabaran dan beranggapan ia sebagai amal jariah kerana saya mungkin ada kepakaran dalam bidang itu....

Seperkara yang saya belajar berkaitan dengan perlaksanaan disiplin ialah bagaimana menghadapi isu perlaksanaan disiplin secara yang harmonis dan praktikal.

Di kebanyakan sekolah, antara isu yang sering dikaitkan dengan disiplin ialah:

1. Pelajar tidak akur dengan arahan
2. Pelajar seringkali tidak berpuashati terhadap tindakan yang dikenakan kepada mereka.
3. Masalah disiplin sukar di atasi/ dibasmi
4. Pelajar berdendam dengan guru.

Saya telah beberapa kali mengikuti kursus dan membaca buku mengenai disiplin yang ditulis oleh beberapa penulis. kebanyakannya hanya membicarakan isu berkaitan dengan teori disiplin iaitu, Apa itu Disiplin, punca Berlakunya Masalah Disiplin, bagaimana mengatasinya, dan sebagainya. Namun jarang yang kita dapati kaedah dan perlaksanaan disiplin secara praktikalnya...

Pada pemerhatian saya selama  ini ada beberapa isu berkaitan disiplin yang seringkali diabaikan. Antaranya ialah:

1. Pelajar tidak tahu  peraturan

2. Pelajar tidak tahu hukuman

3. Pelajar tidak diberi tempoh di dalam mematuhi peraturan itu.

4. Tiada ketegasan di dalam tindakan/ pilih kasih/ cakap tak serupa bikin


1. Pelajar tidak tahu peraturan

Memang kita akui  bahawa setiap sekolah mempunytai peraturan sekolah. Namun perkara yang menjadi isu iailah tidak adanya aktiviti pembudayaan di dalam memberikan kefahaman kepada para pelajar terhadap peraturan tersebut. Peraturan sekolah hanya berada di dalam buku peraturan sekolah yang jarang sekali dirujuk dan dibaca oleh para pelajar. Ada sesetengah sekolah, buku peraturan sekolah ini langsung tidak diwajibkan untuk dimiliki oleh para pelajar. Justeru itu , kebanyakan pelajar tidak tahu apa yang 'boleh" dan apa yang 'tidak boleh' dilakukan di sekolah. Kalau adapun, mungkin tidak melibatkan keseluruhan peraturan tersebut.

Justeru itu, harus ada aktiviti pembudayaan di peringkat sekolah untuk memastikan agar seluruh peraturan sekolah itu di sebarluas dan dimaklumkan kepada semua pelajar. Terdapat beberapa cadangan aktiviti yang boleh dilaksanakan; Antaranya ialah:

a. Mengadakan satu ruang masa semasa perhimpunan sekolah untuk membacakan peraturan sekolah mengikut fasal-fasal tertentu.

b. Menyebarluaskan melalui TVMedia/ poster/ banner , buletin dan sebagainya

c. Menyebarluas melalui ICT seperti di dalam Facebook, SMS, email, blog , web dan sebagainya.

d. Mengadakan kuiz/ forum/ perbahasan/ sudut pidato disiplin pada hari-hari tertentu

e. Melalui ucapan GPK Hem atau pengetua/ Guru besar semasa perhimpunan dan sebagainya.

Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk memastikan supaya semua pelajar tahu kesalahan mereka dan memahami kepada mereka dikenakan tindakan disiplin.



2. Pelajar Tidak Tahu Hukuman

Seringkali di sekolah, kita terlalu banyak memberikan dan memaklumkan peraturan bagi setia perkara atau aktiviti yang dilakukan. Umpamanya dalam isu kehadiran. seringkali kita mendengar guru memberitahu,

"kamu mesti datang awal ke sekolah selewat-lewatnya pada jam 7.15 pagi. "
" kamu hanya boleh keluar kelas dengan kebenaran guru
"kamu tidak boleh makan sambil berjalan' , dan pelbagai peraturan lain lagi.

Namun, kita sering terlupa untuk menyatakan apakah hukuman ataupun tindakan yang akan dikenakan apabila peraturan itu dilanggar . Memang diakui ada sebahagian peraaturan ini sudah dinyatakan bentuk hukumannya, seperti merokok, ponteng sekolah mengikut bilangan hari dan sebagainya. Namun,, banyak lagi peraturan-peraturan umum yang tidak dinyatakan bentuk hukuman secara jelas.

Justeru itu, pelajar sering keliru dan terpinga-pinga apabila hukuman dikenakan kepada mereka sedangkan mereka tidak dimaklumkan apakah bentuk hukuman yang bakal mereka terima. hal inilah yang sering mengakibatkan pelajar berasa tidak berpuasa hati dan menentang hukuman tersebut. Justeru itu, setiap peraturan mestilah dinyatakan hukumannya.

Hakikat ini benar kalau kita renungi akan peraturan yang ada di negara kita. cuba banyangkan jika rakyat tidak dimaklumkan hukuman bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat. Sudah pastilah mereka akan mengambil mudah terhadap peraturan itu atau berasa marah jika diambil tindakan tanpa kengetahui hukuman yang telah ditetapkan. oleh itu, konsep yangsama haruslah dilakukan di dalam perlaksanaan peraturan disiplin di sekolah.

3. Pelajar tidak diberi tempoh di dalam mematuhi peraturan itu.

Salah satu lagi senario yang biasa ditemui di sekolah ialah, sikap tidak sabat di dalam melaksanakan peraturan dan pelajar tidak diberikan tempoh masa yang sesuai untuk mengambil tuindakan terhadap peraturan tersebut. tempoh masa ini penting supaya pelajar dapat memahami peraturan tersebut atau menghayatinya serta memahami kenapa peraturan itu perlu dipatuhi. Ia juga penting agar tindakan untuk mematuhi peraturan ini mesti datangnya daripada diri pelajar sendiri iaitu bermaksud ia menjadi pilihan sendiri para pelajar dan suatu tindakan yang dikenakan ke atas diri mereka.

Perkara ini amat penting. Ini kerana di dalam melaksanakan sesuatu peraturan , perkara penting yang kita dikehendaki ialah peraturan tersebut diterima dan dilakukan oleh pelajar secara sukarela. hal ini akan dapat mengurangkan bebanan guru untuk menghukum mereka atau guru dianggap sebagai penjatuh hukuman seperti tukang gunting rambut, tukang sebat dan sebagainya.

Di dalam perlaksanaan disiplin, kita mestilah memegang prinsip bahawa:
1. Guru adalah pendidik dan bukan penghukum.
2. Seboleh mungkin tiada pelajar yang perlu dihukum jika semuanya boleh mematuhi peraturan secara sukarela.
3. Jika ada pelajar yang telah  dihukum  , maka ia seharusnya menjadi hukuman yang terakhir buat diri mereka. Ini bermaksud , seharusnya mereka tidak akan melakukan kesalahan lagi dan tidak perlulah guru merotan mereka lagi kerana tugas guru bukan tukang sebat seperti di penjara yang terpaksa merotan pesalah setiap hari.

Justeru itu, seboleh-bolehnya berikanlah tempoh masa yang sesuai bagi membolehkan mereka mengambil inisiatif untuk mematuhi peraturan tersebut.

Saya teringat semasa menjadi guru disiplin di sekolah lama saya dahulu. setiap kali sekolah dibuka, saya akan memberikan masa selama 2 minggu untuk pelajar mematuhi peraturan berkaitan rambut. Saya maklumkan corak potongan rambut yang dibenarkan dan bentuk hukuman yang akan dikenakan. Di samping itu , saya menawarkan potongan rambut secara percuma di sekolah dalam jangka masa tersebut sebagai galakan kepada pelajar. Dalam tempoh tersebut juga saya akan terus-terusan memaklumkan kepada para pelajar akan peraturan tersebut dan hukumannya setiap hari sebagai peringatan terhadap mereka.  Setelah tempoh yang ditetapkan tamat, saya terus mengambil tindakan kepada mereka yang ingkar. Selalunya, pelajar -pelajar yang ingkar ini akan dapat menerima tindakan guru kerana meraka telah diberi peluang yang secukupnya.









MAAF ..! PERATURAN SAYA HANYA SATU...





Dalam mengendalikan hal berkaitan dengan disiplin pelajar, memang seringkali kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan , terutamnanya daripada rungutan dan rasa tidak puashati . Kadang-kadang rungutan dan rasa tidak puas hati ini datangnya daripada para pelajar , guru-guru, ibu bapa dan amasyarakat sehingga melibatkan orang berpangkat dan sebagainya.

Semasa saya menjadi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sebuah sekolah di daerah Kuala Pilah sekitar tahun 2002 dahulu , antara rungutan dan komplen yang ditimbilkan adalah berkaitan dengan peraturan supaya pelajar dating awal ke sekolah , selewat-lewatnya pada jam 7.30 pagi.

Sebelum kehadiran saya ke sekolah berkenaan, tahap disiplinnya amatlah parah. Ramai pelajar yang datang lewat. Ada yang datang lewat sehingga jam 8 .15 pagi. Kadangkala , terdapat juga guru-guru yang datang lewat, sama seperti para pelajar juga.Antara punca kelewatan tersebut yang menjadi alas an para pelajar ini adalah disebabkan oleh bas sekolah yang dinaiki lambat .

Oleh itu, saya telah memperkenalkan peraturan datang awal sebelum jam 7.20 pagi.  Pintu pagar sekolah akan ditutup pada jam 7.30 pagi. Pelajar yang lewat akan ditahan di dalam kawasan sekolah berhampiran pintu pagar untuk dicatatkan nama dan ditahan sehingga perhimpunan sekolah tamat iaitu sekitar jam 7.35 pagi.

Setelah peraturan ini dilaksanakan , saya dapati ramai pelajar yang telah Berjaya datang awal sepertimana yang ditetapkan di dalam peraturan tersebut. Namun saya dapati sekumpulan pelajar yang datang daripada satu kawasan di situ yang sering lewat. Alasan mereka ialah, bas yang ada di situ , hanya sebuah dan seringkali lewat pula menga,mbil mereka!

Suatu hari, sedang saya melakukan tugas seharian di bilik saya , muncul seorang lelaki yang berpakaian kemas, memberi salam dan terus memperkenalkan dirinya;

“Saya Tengku…..kerabat Diraja……”.

‘Oh!...Tengku ..jemputlah duduk”, kata saya .

‘Tak apa”, balasnya dan masih berdiri. ‘Saya nak minta pelajar di kawasan saya , agar dikecualikan daripada peraturan datang awal  itu. Ibu bapa ramai yang komplen dan mengadu kepada saya. Saya harap cikgu boleh kecualikan pelajar-pelajar ini !’ katanya dengan wajah yang serius.

Melihatkan sikapnya yang agak serius dalam menyatakan kemahuannya itu, saya menjemputnya duduk dahulu untuk berbiuncang. Namun dia masih enggan dan masih berdiri.
“Macam inilah Tengku…” kata saya memulakan hujah kenapa peraturan itu perlu. “ Saya fikir biarkah kita gunakan satu sahaja peraturan. Itulah peraturan untuk orang kecil , itu jugalah peraturan untuk orang besar! Sebab kalau banyak sangat peraturan, nanti saya pening kepala dan susah nak jawab rungutan orang.! Lagipun, kita buat ini adalah semata-mata untuk memberi imej baru kepada sekolah ini. Saya fikir Tengku tentu tahu tahap disiplin di sekolah ini . Lagipun sekolah inilah satu-satunya sekolah di kawasan ini . baik atau buruknya, sekolah inilah yang akan mendapat namanya. Jadi , saya fikir , biarlah kita pilih nama yang baik daripada yang buruk. Lagipun saya mungkin tak lama di sini, tetapi Tengku tentu masih berada di sini untuk jangka masa lama. Jadi kalau imej sekolah ini buruk, buruklah nama yang dibawa dan sudah pastilah Tengku tidak mahu nama sekolah ini buruk. Jadi , saya buat ini semata-mata kerana ingin membina imej baru sekolah ini…jadi. Eloklah kita gunakan satu peraturan sahaja untuk semua orang..!’

Teras puas hati saya kerana dapat meluahkan isi hati saya. Namun, terasa juga di hati saya, bahawa bahasa yang saya gunakan itu, agak kasar dan terlalu ‘direct’…Saya perhatikan riak mukanya dan menunggu respon daripada beliau..

“Macam inilah cikgu…’, lembut nada suara yang terpancul daripada mulutnya. “Kalau cikgu buat ini demi imej sekolah ini, saya sokong dan saya setujulah cikgu…Terima kasihlah cikgu. Sekarang saya faham dan  saya akan maklumkan kepada ibu bapa di kawasan saya..Saya mohon maaf’, katanya dengan wajah yang manis sambil bangun bersedia untuk meninggalkan bilik saya…


Kadangkala, di dalam kehidupan ini , kita perlu berani menyatakan yang benar tanpa rasa takut dan bimbang. Niat murni kita seringkali disalahtafsir oleh orang yang tidak memahaminya. Ini kemungkinan disebabkan berita dan maklumat itu disampaikan secara salah oleh orang yang rasa tergugat keselesaan peribadi mereka tanpa melihat keselesaan ramai. Namun, selalunya, apabila mereka faham, mereka akan menerimanya dengan baik, jika mereka orang yang benar-benar berfikir!






CIKGU TAN...



CIKGU TAN


Cikgu Tan memang seoarng guru yang lembut. Selama berpuluh tahun mengajar , tidak pernah terdengar dia meninggikan suaranya kepada pelajar-pelajarnya. Selain sifatnya memang pendiam, lemah lembut, mungkin juga usianya yang sudah hamoir menjangkau 50 tahun memberi kesan terhadap tingkahlakunya yang sebegitu.

Cikgu Tan memang sorang guru yang rajin, Segala tugas yang diamanahkan, pasti akan dilaksanakan dengan tekun. Dia akan berasa susah hati  jika anak didiknya gagal di dalam peperiksaan.

Namun begitu, kelembutannya inilah yang sering digunakan oleh beberapa orang pelajar nakal untuk tidak mengikut arahannya. Sifat lembut terhadap anak-anaknya yang sebaya dengan anak=anak didiknya terbaw-bawa ke dalam bilik darjah. Dia memang tidak suka marah-marah. Cikgu Tan akan berasa susah hati jika dia terpaksa meninggikan suaranya kepada pelajar-pelajarnya. Tambah susah hatinya ,jika ada pelajar yang maeah-marah pula kepadanya.

Lai Meng, Mei Kwan, dan Mee Ling adalah tiga orang pelajar kelasnya di tingkatan 2 Seroja, Sebagai kawan rapat yang tinggal di tempat yang sama, sikap dan tingkahlaku mereka seakan-akan sama sahaja. Degil, pembengis, enggan ikut perintah guru dan malas menyiapkan kerja rumah sudah menjadi panggilan yang sering ditujukan kepada mereka oleh hamper semua guru yang mengajar di kelas tersebut. Sikap Cikgu Tan yang sentiasa menekan setiap pelajar menyiapkan tugasan mereka dngan lengkap dan betul ternyata menjadi pisau yang menghiris dada mereka setiap hari. Wajah, kata-kata dan arahan Cikgu Tan sudah menjadi duri yang mencucuk mata dan setiap denyut nadi mereka. Sepakat mereka bertekad,

 ‘ Jangan peduli cakap Cikgu Tan!’ Idea Mee Ling itu cepat disokong oleh dua lagi rakannya itu,
‘Kita tengok , apa dia boleh buat! Cikgu Tan tu lembik! Tak kan berani dia nak bertindak “, sampuk Mei Kwan menyokong kata-kata rakannya tadi.

Ketika kelibat Cikgu Tan melangkah masuk ke dalam kelas  2 Seroja pada hari itu, ketiga-tiga sudah nekad.

“Hari ini…kau siap Cikgu Tan!”.

“Berlagak! Tak guna!

“Benciiiiiiiiiiii…………..

Perasaan itu berlumba-lumba masuk ke minda mereka . Kebencian itu semakin membuak-buak apabila cikgu Tan menghampirui meja mereka.

“Kamu bertiga! Mana buku latihan kamu! Kenapa kamu tak hantar kepada saya semalam”, tegur Cikgu Tan agak keras daripada biasa.

“Dah banyak kali saya bagi tau awak, kenapa awak tak mahu dengar!”, Cikgu Tan mula meluahkan rasa tak puas hati terhadap  mereka yang selama ini dipendamnya.

“Awak nak jadi apa kalau begini sikap awak!”. Rungut Cikgu Tan.

Pengajaran pada hari itu terhenti seketika. Kata-kata Cikgu Tan menarik perhatian pelajar lain ke arah meja ketiga-tiga pelajar tersebut

Ternyata kata-kata Cikgu Tan tidak memberi kesan positif di telina mereka bertiga. Sebaliknya ia disambut dengan jelingan kebencian dan marah serta dendam yang meluap-luap!

“Sial  punya orang tua! Tangkas kata-kata itu terpancul dari mulut Lai Meng,

“Lebih baik mampus! , sambung Mei Kwan

“ Minta-minta biar berlanggar kereta balik nanti.! Biar cepat mati! “, sampuk Mee Ling dengan kebenciaan yang membuak-buak.

Kata-kata itu membuatkan Cikgu Tan tersentak. Tidak diduganya sama-sekali pelajar nya itu sanggup mendoakan kematiannya! Kebimbangan dan ketakutan kini menguasai dirinya! Apakah ia akan berlaku nanti! Ketika itu juga ingatannya terus kepada 2 oarang anaknya yang masih bersekolah.
Andainya berlaku seperti yang didoakan, siapakah yang akan menjaga anak-anaknya.

Cikgu Tan terduduk di meja guru. Moodnya untuk mengajar pada hari itu, seakan diragut.
Cikgu Tan termenung di mejanya. Pelajar-pelajar diminta menyiapkan latihan yang terdapat di dalam buku latihan sahaja. Dia tidak berminat lagi untuk mengajar pada hari itu!

Peristiwa itu terus dilaporkan kepada Cikgu Farid. Sebagai guru disiplin, Cikgu Farid harus bertindak terhadap pelajar tersebut. Itu harapannya. Cikgu Tan akan puas jika ketiga-tiganya diambil tindakan.

“Cikgu Farid, tolong ambil tindakan kepada mereka. Mereka sudah biadap dengan saya. Cikgu rotan saja mereka! Pelbagai cadangan dilontarkan oleh Cikgu Tan. Hatinya akan tetap sakit selagi ketiga-tiganya tidak dihukum. Patut sangat mereka itu dirotan! Biar padan muka mereka!

Cikgu Farid tersenyum mendengarkan cerita dan cadangan-cadangan tindakan daripada Cikgu Tan itu. Rasa pelik timbul di dalam dirinya. Jarang benar pelajar perempuan Cina yang bermasalah seperti itu, di sapanjang pengalamannya sebagai guru disiplin di sekolah itu. Kelucuan timbul juga di dalam hatinya apabila melihatkan kerisauan Cikgu Tan apabila bercerita tentang sumpahan pelajar itu/ Pelik juga kenapa Cikgu Tan seolah-olah percaya akan sumpahan itu!

Pada pagi Rabu itu, Cikgu Farid sudah bersedia di bilik disiplin. Ketiks pintu bilik itu diketuk, dia sudah dapat menjangkakan ketiga-tiga pelajar itulah yang akan mengadapnya pada pagi itu. Cara ketukan di pintu sudah memberikannya bayangan jenis pelajar yang akan dihadapinya. Kemunculan wajah mereka apabila daun pintu bilik di buka mengesahkan apa yang ada dalam fikiranya dan membayangkan masalah yang dihadapi oleh cikgu Tan selama ini.

“ Apa yang awak cakap kepada Cikgu Tan semasa di kelas semalam?

Soal cikgu Farid keras. Namun ia disambut dengan jelingan dan wajah yang dibaluti seribu kebencian dan kemarahan oleh ketiga-tiganya.

“Kenapa tak jawab! Awak nak saya pukul awak dengan rotan ini? Herdik Cikgu Farid. Serentak itu juga rotan panjang di tangannya dihentakkan ke meja dengan kuat.

Beberapa orang pelajar yang lalu di koridor luar bilik itu tersentak ketakutan. Bunyi tapak kaki berlari pantas kedengaran di dalam bilik itu. Bunyi begitu selalunya menandakan ada pelajar yang akan dihukum rotan. Setiap pelajar di sekolah itu sudah maklum pukulan rotan itu mesti datangnya daripada cikgu Farid. Sesiapa yang pernah masuk ke bilik itu sudah tahu bagaimana kecutnya perut apabula berada di situ,

“Awak jangan nak bersikap biadap kepada guru sekolah ini!.

“Awak ingat awak dah pandai sangat! Tak nak dengar cakap cikgu lagi!

“Kalau nak ikut perangai awak, cari saja sekolah lain, Sekolah yang boleh ikut apa kemahuan awak….!”

Segala kemarahan dihamburkan ke muka ketiga-tiga pelajar itu. Cikgu Farid pun tak tahu berapa banyak kata-kata ugutan yang dilemparkan kepada mereka.

Kemarahan Cikgu Farid semakin memuncak . Bukan saja soalannya tidak dijawab oleh mereka , malahan ia masih dibalas dengan pandangan yang penuh kebenciaan dan penghinaan! Cikgu Farid ternyata tercabar!

Cikgu Farid terdiam sebentar! Pelik! Selalunya tidak ada pelajar yang masih bertahan dengan keegoaan mereka apabila diherdik sebegitu oleh cikgu Farid.

Otaknya berlegar memikirkan apakah tindakan selanjutnya yang harus diambilnya! Suasana bilik itu bertukar sunyi seketika,

“Baiklah!”, suara cikgu Farid mula bertukar lembut.

“Awak bertiga ada ayah tak?”, Tanya cikgu Farid sambil memandang tepat kearah ketiga-tiga pelajar di depannya itu.

“Ada!”, terpancul suara lembut dari mulut  ketiga-tiga mereka!

Cikgu Farid terkejut sebentar! Hampir 10 minit dia memarahi mereka, namun tak sepatah kata yang keluar.

“Pelik pula pelajar ni”, bisik hatinya.

“Awak sayang pada ayah awak?”. Sambung Cikdu Farid meneruskan kata-kata lembutnya.

“Sayang ,cikgu”,

“Kenapa awak sayangkan ayah awak?”, Tanya cikgu Farid lagi

“Mestilah cikgu!”. Kelembutan kata-kata mereka membuatkan cikgu Farid mula sedar akan kesilapannya sebentar tadi.

“Kenapa perlu sayang sama yah awak! Awak mahu kalau ayah awak meninggal dunia!”, sambung cikgu Farid terus menguji sikap anak muridnya itu,

“Mestilah tak mahu cikgu, Kalau ayah kami tiada siapa nak bagi kami makan, Siapa nak bagi kami wang untuk sekolah!”. Jawab Mee Ling yang selama ini mendiamkan diri,

“Baiklah! Jadi maknanya awak semua sayang akan ayanh awak. Awak tidak mahu ayah awak mati!”, cikgu Farid mula cuba menyampaikan isi soalanya yang sebenar.

“Awak tau tak? “.soal cikgu Farid lagi

“Cikgu Tan juga ada anak. Sama seperti kamu! Dia sayang sama ayah dia. Dia tak mahu Cikgu Tan mati”, ujar Cikgu Farid menyampaikan maksud sebenar persoalannya itu.

Seketika itu, cikgu Farid terdengar esakan daripada ketiga-tiganya. Ternyata mereka benar-benar menangis! Air mata mula membasahi pipi ketiga-tiga mereka. Cikgu Farid tergamam seketika ! Dia tak percaya dengan apa yang berlaku di depan matanya.

“Kami minta maaf , cikgu! Kami takkan buat jahat lagi, Maaf, cikgu!!!!”

Seketika itu juga, perasaan sebak menusuk  hati Cikgu Farid. Di depan mata dia melihat wajah anak-anak muridnya yang benar-benar jujur dan murni. Sikap yang tidak pernah difahaminya sejak awal tadi. Juga mungkin yang tidak pernah dikenali oleh rakan-rakan gurunya selama ini.













FITNAH DATANG BERTIMPA-TIMPA...





Kadangkal kehadiran kita di satu-satu sekolah tidak disenangi oleh orang lain. Kadang-kadang ia menjadi suatu ancaman kepada keselesaan sesaorang. Keselesaan dengan kedudukan dan pengaruh terhadap pengurusan tertinggi sekolah dirasakan akan terancam dengan kehadiran kita ke sekolah berkenaan.

Pada tahun April 1999, saya ditukarkan kembali ke sekolah yang sama sebelum ini setelah berpindah ke Seremban untuk menjawat jawatan GPK Hem. Walaupun, saya terpaksa ‘turun pangkat’ kerana terpaksa menjawat jawatan sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran ( Ketua Bidang) , saya terima juga kerana memenuhi harapan Pengetua dan kerana saying terhadap sekolah lama saya.

Sesampainya di sekolah berkenaan , saya ditugaskan untuk mengajar kembali subjek yang saya ajar di sekolah berkenaan sebelum ini iaitu Kesusasteraan Melayu di Tingkatan Enam Atas. Saya terima . Ini kerana ia memang subjek yang saya mahir disebabkan telah lama mengajar dan menjadi pemeriksa kertas STPM , tetapi juga di atas memenuhi permintaan pelajar-pelajar berkenaan yang ingin kan saya mengajar mereka. Saya akur dengan arahan . Kelas ini pada asalnya diajar oleh seorang guru  sejak mereka di tingkatan 6 Bawah lagi.

Hari pertama, seperti biasa, saya masuk ke kelas berkenaan dan bertanyakan kepada pelajar akan sejauh mana mereka telah belajar. Sesuatuy yang amat memeranjatkan apabila pelajar memberitahu saya bahawa mereka hanya belajar 2 tajuk soalan sahaja. Soalan atau latihan yang diarahkan untuk mereka lakukan ialah:

  1. Senaraikan nama penulis –penulis Tanah Melayu bermula pada tahun 1920 hingga kini (1999).
  2. Angkatan Sasterawan 50

Subhannallah!...Saya amat terperanjat! Saya lantas bertanya kepada pelajar saya;

“Untuk apa senarai itu?, kata saya.
“Tak tahu!..Cikgu suruh buat”, kata pelajar-pelajar di dalam kelas berkenaan.

“Ini salah ni!....Ini ajaran songsang ni..”, kata saya kepada mereka sambil ketawa..

Tanpa saya sedari di dalam kelas berkenaan , ada anak guru berkenaan juga. Namun, saya fikir itu sekadar jenaka saya dan lagipun, guru berkenaan juga saya kenali dan baik dengan saya.

FITNAH PERTAMA

Pada minggu kedua, kehadiran saya itu, saya dipanggil oleh Pengetua saya dan memaklumkan bahawa ada surat layang menuduh saya sebagai ‘double agent’.
Saya baca surat berkenaan. Memang benar surat itu secara jelas menyebut nama guru yang dimaksudkan itu adalah saya..cikgu omar. Surat itu menyebut bahawa saya sering berbual dengan guru-guru lain di bilik guru dan sering mengutuk pengetua dihadapan guru. Sebaliknya di hadapan pengetua pula, saya dituduh sering membodek dan menyokong pengetua!....

Pada masa itu, Pengetua menyokong saya dan menyakinkan saya bahawa beliau tidak percaya akan isi kandungan surat itu dan mengakui kenal sikap saya kerana kami sama-sama menjadi guru biasa di sekolah berkenaan sebelum beliau berpindah dan kini datang sebagai pengetua.

Saya maklumkan kepada pengetua, alasan saya berbual dengan guru-guru berkenaan kerana;

  1. Mereka semua itu adalah rakan lama saya sebelum ini. Takkanlah selepas saya memegang jawatan , saya tidak boleh lagi berbual dengan mereka.

  1. Saya nyatakan juga, memang ada sesetengah guru ini bersungut tentang pengetua dan pentadbiran. Dalam perbualan dengan mereka menyatakan pandangan mereka dan saya akan bertindak membetulkan tanggapan mereka jika tanggapan mereka itu salah. Tidak sekali-kali saya memburuk-burukkan tuan pengetua.

 Saya anggap cerita itu tamat begitu saja selepas itu. Saya tidak mahu memanjangkan dan tidak mengesakki sesiapa. Saya beritahu pengetua, ini mungkin kerja guru-guru baru yang tidak kenal saya. Saya telah mengajar di sekolah berkenaan sejak 1985.

FITNAH KEDUA

Tidak lama selepas fitnah pertama itu, tiba-tiba muncul satu lagi fitnah yang lebih hebat lagi.

Kali ini , saya difitnah memaksa seorang guru perempuan berpindah ke bilik Galeri Sejarah tanpa persetujuan guru berkenaan. Isunya remeh, namun yang menimbulkan kemarahan saya ialah apabila saya difitnah secara terang-terangan dan perkara ini dihebahkan ke seluruh sekolah termasuklah ke semua pengurusan sekolah.

Kali ini saya benar-benar marah dan terbongkarlah rahsia orang yang membuat fitnah kepada saya sebelum ini secara jelas!

Ketika saya sampai ke sekolah berkenaan , mereka mengamalkan sistem ‘kelas anjal’ di mana setiap guru diberikan bilik darjah dan mereka akan duduk di bilik berkenaan seumpama sistem di universiti. Memandangkan jawatan saya sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran kemanusiaan (Ketua Bidang) dan Galleri Sejarah berada di bawah bidang saya dan kawalan saya. Justeru itu, saya telah mencadangkan dan meminta ketua panitia Sejarah saya supaya berpindah ke Galeri Sejarah dengan niat agar beliau dapat mengemaskini dan menjaga bilik berkenaan. Saya berbincang dengan beliau dan beliau bersetuju. Namun, apa yang menjadi persoalannya ialah pada masa berkenaan guru yang membuat fitnah ini menggunakan galeri berkenaan sebagai bilik beliau.

Saya berjumpa dengan beliau dan bercakap secara telus , memaklumkan cadangan saya itu . Saya maklumkan lagi, disebabkan beliau juga adalah Ketua Bidang dan setiap ketua bidang mempunyai bilik masing-masing, wajarlah beliau duduk di bilik beliau dan Galeri berkenaan diuruskan oleh ketua panitia sejarah.

Beliau bersetuju dan menyatakan tiada sebarang halangan dan akur hakikat keperluan guru panitia sejarah untuk berada di bilik galeri berkenaan.

Namun di sebalik persetujuan, senyuman dan kata manisnya, tersimpan dendam dan hasat dengki yang tidak habis dan tidak puas hati dengan fitnah pertamanya dahulu yang tidak ‘begitu menjadi’.

Cerita saya memaksa guru ketua panitia ini berpindah tersebar dengan cepatnya dan sampai ke telinga saya.

Perkara pertama yang saya lakukan adalah , saya berjumpa dengan guru panitia saya itu dan bertanyakan adakah benar saya memaksanya selama ini! Beliau menegaskan ‘tiada’ dan beliau juga hairan bagaimana cerita saya memaksanya itu tersebar.

Kemudiaannya , saya berjumpa dengan GPK 1 dan GPK Hem saya bertanyakan perkara berkenaan. Kedua-dua mereka mengakui bahawa guru tersebutlah yang memberitahu cerita tersebut kepada mereka, namun mereka tidak mempercayainya kerana mereka kenal siapa saya! Mereka juga mengakui bahawa pengetua juga telah dimaklumkan oleh guru berkenaan dan mereka tidak mampu mempengaruhi pengetua untyuk tidak mempercayai cerita tersebut kerana pengetua amat rapat dengan guru berkenaan yang juga merupakan jiran sebelah rumah.

Pada saat itu, saya amat marah dan terasa dipermainkan oleh guru berkenaan. Saya menunggu saat untuk saya berjumpa pengetua dan ingin membawa guru berkenaan bersama untuk menjelaskan keadaan sebenarnya.

Saat yang dinantikan tiba apabila pada suatu pagi saya berjumpa dengan pengetua di pejabat. Pengetua yang Nampak wajah saya yang dalam keadaan marah dan tahu apa yang ada di dalam kepala saya ketika itu, terus memberitahu untuk berjumpa saya pada jam 9 pagi di bilik Galeri sejarah. Saya menyatakan kepada pengetua, “ Memang saya nak bercakap dengan cikgu!. Saya harap orang yang menyebarkan fitnah ini turut sama supaya dapat dibuktikan siapa yang salah dan siapa yang benar!”.

Pada waktu yang dijanjikan saya ke Galeri Sejarah. Sudah berada di situ, Pengetua, ketua panitia Sejarah dan guru yang menyebarkan fitnah tersebut. Saya memulakan pertemuan itu dengan menanyakan guru berkenaan

“ Apa yang saya beritahu dengan cikgu sebelum ini? , kata saya dengan nada yang marah
“ cikgu, saya maklumkan pada cikgu cadangan saya supaya Ketua Panitia ini turun ke Galeri Sejarah supaya dapat membantu menjaga bilik berkenaan atas dasar dia sebagai Ketua Panitia. Betul tak saya kata begitu?  kata saya sambil memandang tepat kepada guru berkenaan.

“Dan cikgu menjawab, tiada masalah dan memang patut dia ke Galeri Sejarah , sebagai ketua Panitia.  Betul tak begitu cikgu?”, kata saya lagi.

Kemudian saya terus menoleh kepada Ketua Panitia Sejarah berkenaan.

“ Cikgu, Tolong bagitau perkara sebanar!. Adakah saya memaksa cikgu turun ke Galeri Sejarah? Ada atau tidak saya bertanyakan pendapat cikgu dan minta persetujuan cikgu?”

Ketua Panita saya menjawab bahawa memang tidak pernah saya memaksa beliau turun ke Galeri dan menyatakan bahawa beliau yang bersetuju secara sukarela demi menjaga galeri berkenaan.

Ketika itu, guru berkenaan senyap dan tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun.

Namun sesuatu yang tidak saya jangkakan ketika itu berlaku apabila , pengetua mempersoalkan kenyataan guru berkenaan dan menuduh saya memang memaksa ketua panitia saya itu.

“Mungkinlah pada masa ini dia (Ketua Panitia) tak berani bercakap benar!’, katanya soalah-olah menyokong fitnah yang disebarkan oleh guru berkenaan.

Ketika itu, saya terasa sungguh kecewa terutama dengan sikap pengetua yang tidak mempercayai saya dan menyokong fitnah yang dilemparkan kepada saya .

Ketika itu juga saya menjawab kata-kata pengetua itu dengan nada yang penuh kecewa dan marah.

‘Cikgu, tolong tanyakan cikgu panitia ini, cikgu! Dia ada di depan cikgu. Kenapa tuduh saya seperti itu?”

Ketika itu juga, guru panitia berkenaan mengulangi kata-katanya sebelum ini.

“ Memang saya akui, cikgu omar tak pernah paksa saya dan buat apa-apa ugutan terhadap saya. Saya rela turun ke Galeri dan berasa wajar saya berbuat demikian demi kebaikan Galeri berkenaan.”

Saya lihat ketika itu pengetua dan guru penyebar fitnah itu seakan-akan tersentak dengan jawapan guru panitia berkenaan.

“ Cikgu, kalau cikgu nak naik , tolong jangan fitnah orang. Tolong jangan pijak kepala orang! Jangan suka fitnah orang dan jangan berperangai seperti budak-budak. Cikgu sebagai Ketua Bidang , tapi perangai macam budak-budak. Sikit-sikit mengadu. Sikit mengadu. Tak boleh berbincang kah dengan saya! Kalau macam ini sikap cikgu, memang tak layak jadi ketua bidang!..

“ Saya tak kisahlah cikgu tentang jawatan . kalau cikgu nak ambil jawatan saya , ambillah. Ingat cikgu, kali ini cikgu fitnah saya, suatu masa nanti Allah akan balas dengan lebih teruk dan hina daripada perbuatan cikgu ini!“ , kata saya menghamburkan apa yang terbuku di hati saya ketika itu. Saya tidak peduli apa yang akan berlaku daripada kata-kata saya itu, namun yang nyata , saya amat kecewa dengan sikap guru berkenaan dan sikap pengetua yang ternyata berat sebelah…

Sebaik habis bercakap, saya terus keluar meninggalkan bilik berkenaan.

Sekembalinya ke bilik saya, saya di datangi oleh Ketua Panitia Sejarah tersebut. Beliau menyatakan kekesalan akan isu yang timbul dan memohon maaf. Saya tidak menyalahkan beliau dan menganggap bahawa beliau juga adalah mangsa di dalam kes tersebut. Namun suatu perkara yang disampaikannya membuatkan saya terasa amat kesal.

“Tadi selepas cikgu keluar, pengetua ada menyatakan kepada saya” , katanya

“pengetua memaklumkan bahawa bukan dia nak menangkan cikgu berkenaan atau menyalahkan cikgu, tetapi disebabkan cikgu berkenaan adalah jiran beliau, maka pengetua terpaksa berpihak kepada cikgu berkenaan!”.

Pada saat itu, saya terasa amat kecewa. Saya beritahu Ketua panitia saya itu, “ Kalau begitulah sikap pengetua, bermula daripada sekarang saya hilang rasa hormat kepada beliau sebagai seorang ketua!” , kata saya menamatkan pertemuan tersebut.

Sejak hari itu, sikap dan perhubungan saya dengan pengetua dan guru berkenaan berubah samna- sekali. Namun apa yang membanggakan saya ialah, semua rakan-rakan dan guru-guru lama yang ada di sekolah berkenaan, menyokong saya dan yakin bahawa saya menjadi mangsa fitnah guru berkenaan yang ternyata menjadi pemecah belah perpaduan di sekolah berkenaan. Saya hanya mampu berdoa agar Allah balas segala perbuatannya kepada saya …


FITNAH KETIGA

Menjelang peperiksaan SPM dan PMR iaitu sekitar bulan Oktober, menjadi kebiasaan bagi setiap sekolah mengadakan majlis baca yasin dan solat hajat bagi memohon keberkatan dan pertolongan Allah bagi kejayaan pelajar . Di sekolah , saya diberikan amanah untuk menjayaakan program berkenaan memandangkan ia termasuk di bawah bidang tugas saya sebagai Ketua Bidang Kemanusiaan. Saya ambil tanggungjawab demi tugas .

Majlis pada malam itu hanya menjemput para guru dan ibu bapa serta pelajar terlibat. Telah diputuskan tiada tetamu istimewa yang dijemput termasuklah YTM Dato Undang Luak……yang mempunyai anak di tingkatan 5 , di sekolah tersebut. Sebelum hari berkenaan , saya telah mendapatkan kepastian kepada anak beliau, bahawa bapanya tidak akan hadir.

Pada hari berlangsungnya majlis tersebut aktiviti dan sambutan diadakan secara sederhana kerana tiada tetamu istimewa.

Namun , tanpa diduga, ketika majlis berlangsung, saya dapati YTM Undang Luak ….telah berada di dalam majlis berkenaan dan tiada sesiapapun yang memaklumkan kepada saya atau pihak sekolah.

Namun, sebagai pengacara pada malam itu, saya sempat mengalu-alukan akan kehadiran YTM Undang dan menggunakan bahasa yang sesuai dengan kehadiran beliau. Cuma pakaian saya mungkin tidak begitu sesuai dengan hanya memakai baju melayu dan berseluar panjang tanpa samping lengkap.

Majlis berlangsung dengan jayanya dan selepas tamat majlis saya sempat berjumpa dengan YTM dan memohon maaf kerana tidak maklum akan kehadiran beliau . YTM mengangguk faham dan menyatakan tak mengapa dan memaklumkan bahawa kehadirannya ke majlis itu , hanya sebagai penjaga kepada anak beliau.

Saya berasa gembira dengan jawapan beliau dan mengucapkan terima kasih. YTM ini sebelum menjadi Dato Undang, adalah merupakan Naib YDP PIBG di sekolah berkenaan dan memang sudah biasa dan kenal akan saya. Apatah lagi anak beliau merupakan pengawas sekolah berkenaan. Sehinggalah lebih kurang 2 minggu berlangsungnya majlis berkenaan, tiada sebarang rungutan atau komplen yang diterima daripada mana-mana pihak termasuklah PPD atau JPNS.

Namun ternyata, air yang tenang, jangan disangka tiada buaya!

Tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan oleh pengetua menyatakan bahawa beliau menerima surat daripada pejabat YTM Undang yang menyatakan rasa tidak puas hati beliau terhadap majlis baca yasin yang berlangsung. Antara ketidakpuasan hati yang dinyatakan ialah:

  1. Tidak berpakaian baju melayu lengkap/ bersamping
  2. Tidak menggunakan bahasa yang sesuai ketika ucapan terhadap YTM Undang

Saya terus meminta kepada pengetua untuk melihat surat berkenaan. Pada mulanya beliau enggan menyerahkannya , namun apabila saya mendesak, beliau menyerahkan kepada saya. Terlihat sahaja surat berkenaaan, saya yakin bahawa ini merupakan satu lagi fitnah yang dilakukan oleh guru berkenaan kepada saya dan ternyata dendamnya kepada saya masih belum tamat.

Saya nyatakan kepada pengetua , bahawa, saya tahu siapa yang melakukan fitnah ini. “:Surat ini adalah suatu fitnah. Buktinya mudah ,”kata saya kepada pengetua

“ Pertama, kalau betullah YTM Undang marah kepada saya, beliau tidak akan hantar surat layang seperti ini. Beliau mesti memanggil saya mengadap ke Balai Undang, “ kata saya lagi

“Kedua, surat daripada pejabat YTM Undang adalah berwarna kuning dan bukannya seperti surat tersebut yang menggunakan kertas biasa tanpa kepala surat pejabat YTM Undang..”. Pengetua terdiam mendengar penjelasan saya itu.

“Saya tahu siapa yang punya kerja ini . Ternyata orang ini tidak berpuashati dengan kegagalan dia memfitnah saya sebelum ini,” kata saya sambil berlalu.

Perasaan saya ketika itu ternyata amat kecewa dan marah. Saya beritahu kepada beberapa orang rakan sekerja. Mereka ternyata terperanjat dan hairan dengan sikap guru berkenaan.

Saya bertekad untuk melepaskan kemarahan saya di dalam mesyuarat guru yang bakal diadakan pada  minggu terakhir sebelum cuti persekolahan.

Ketika itu juga, saya menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana pada minggu pertama cuti persekolahan itu. Namun, hasrat saya untuk menhamburkan rasa tidak puas hati terutamanya kepada guru berkenaan tidak kesampaian kerana dinasihati oleh rakan-rakan. Saya hanya memberitahu rakan-rakan, “Tidak mengapalah..saya serahkan kepada Allah untuk balas perbuatannya.”

Pada tahun 2003, saya kembali semuala ke sekolah berkenaan sebagai GPK 1. Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan bahawa guru berkenaan telah dipindahkan ke sebuah sekolah di daerah lain. Sebab perpindahan dikatakan kerana terbabit dengan surat yang dihantar oleh pelajar tingkatan 6 ke Kementerian Pelajaran Malaysia. Guru ini dikatakan dituduh oleh pelajarnya tidak masuk mengajar dan meraba pelajar perempuan ketika mengajar! Subhanallah…saya bersyukur kerana doa saya dimakbulkan Allah dan kebenaran akhirnya terbukti…












Never Give Up-

STEPHEN COVEY- 10/90 PRINCIPLE