FITNAH DATANG BERTIMPA-TIMPA...





Kadangkal kehadiran kita di satu-satu sekolah tidak disenangi oleh orang lain. Kadang-kadang ia menjadi suatu ancaman kepada keselesaan sesaorang. Keselesaan dengan kedudukan dan pengaruh terhadap pengurusan tertinggi sekolah dirasakan akan terancam dengan kehadiran kita ke sekolah berkenaan.

Pada tahun April 1999, saya ditukarkan kembali ke sekolah yang sama sebelum ini setelah berpindah ke Seremban untuk menjawat jawatan GPK Hem. Walaupun, saya terpaksa ‘turun pangkat’ kerana terpaksa menjawat jawatan sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran ( Ketua Bidang) , saya terima juga kerana memenuhi harapan Pengetua dan kerana saying terhadap sekolah lama saya.

Sesampainya di sekolah berkenaan , saya ditugaskan untuk mengajar kembali subjek yang saya ajar di sekolah berkenaan sebelum ini iaitu Kesusasteraan Melayu di Tingkatan Enam Atas. Saya terima . Ini kerana ia memang subjek yang saya mahir disebabkan telah lama mengajar dan menjadi pemeriksa kertas STPM , tetapi juga di atas memenuhi permintaan pelajar-pelajar berkenaan yang ingin kan saya mengajar mereka. Saya akur dengan arahan . Kelas ini pada asalnya diajar oleh seorang guru  sejak mereka di tingkatan 6 Bawah lagi.

Hari pertama, seperti biasa, saya masuk ke kelas berkenaan dan bertanyakan kepada pelajar akan sejauh mana mereka telah belajar. Sesuatuy yang amat memeranjatkan apabila pelajar memberitahu saya bahawa mereka hanya belajar 2 tajuk soalan sahaja. Soalan atau latihan yang diarahkan untuk mereka lakukan ialah:

  1. Senaraikan nama penulis –penulis Tanah Melayu bermula pada tahun 1920 hingga kini (1999).
  2. Angkatan Sasterawan 50

Subhannallah!...Saya amat terperanjat! Saya lantas bertanya kepada pelajar saya;

“Untuk apa senarai itu?, kata saya.
“Tak tahu!..Cikgu suruh buat”, kata pelajar-pelajar di dalam kelas berkenaan.

“Ini salah ni!....Ini ajaran songsang ni..”, kata saya kepada mereka sambil ketawa..

Tanpa saya sedari di dalam kelas berkenaan , ada anak guru berkenaan juga. Namun, saya fikir itu sekadar jenaka saya dan lagipun, guru berkenaan juga saya kenali dan baik dengan saya.

FITNAH PERTAMA

Pada minggu kedua, kehadiran saya itu, saya dipanggil oleh Pengetua saya dan memaklumkan bahawa ada surat layang menuduh saya sebagai ‘double agent’.
Saya baca surat berkenaan. Memang benar surat itu secara jelas menyebut nama guru yang dimaksudkan itu adalah saya..cikgu omar. Surat itu menyebut bahawa saya sering berbual dengan guru-guru lain di bilik guru dan sering mengutuk pengetua dihadapan guru. Sebaliknya di hadapan pengetua pula, saya dituduh sering membodek dan menyokong pengetua!....

Pada masa itu, Pengetua menyokong saya dan menyakinkan saya bahawa beliau tidak percaya akan isi kandungan surat itu dan mengakui kenal sikap saya kerana kami sama-sama menjadi guru biasa di sekolah berkenaan sebelum beliau berpindah dan kini datang sebagai pengetua.

Saya maklumkan kepada pengetua, alasan saya berbual dengan guru-guru berkenaan kerana;

  1. Mereka semua itu adalah rakan lama saya sebelum ini. Takkanlah selepas saya memegang jawatan , saya tidak boleh lagi berbual dengan mereka.

  1. Saya nyatakan juga, memang ada sesetengah guru ini bersungut tentang pengetua dan pentadbiran. Dalam perbualan dengan mereka menyatakan pandangan mereka dan saya akan bertindak membetulkan tanggapan mereka jika tanggapan mereka itu salah. Tidak sekali-kali saya memburuk-burukkan tuan pengetua.

 Saya anggap cerita itu tamat begitu saja selepas itu. Saya tidak mahu memanjangkan dan tidak mengesakki sesiapa. Saya beritahu pengetua, ini mungkin kerja guru-guru baru yang tidak kenal saya. Saya telah mengajar di sekolah berkenaan sejak 1985.

FITNAH KEDUA

Tidak lama selepas fitnah pertama itu, tiba-tiba muncul satu lagi fitnah yang lebih hebat lagi.

Kali ini , saya difitnah memaksa seorang guru perempuan berpindah ke bilik Galeri Sejarah tanpa persetujuan guru berkenaan. Isunya remeh, namun yang menimbulkan kemarahan saya ialah apabila saya difitnah secara terang-terangan dan perkara ini dihebahkan ke seluruh sekolah termasuklah ke semua pengurusan sekolah.

Kali ini saya benar-benar marah dan terbongkarlah rahsia orang yang membuat fitnah kepada saya sebelum ini secara jelas!

Ketika saya sampai ke sekolah berkenaan , mereka mengamalkan sistem ‘kelas anjal’ di mana setiap guru diberikan bilik darjah dan mereka akan duduk di bilik berkenaan seumpama sistem di universiti. Memandangkan jawatan saya sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran kemanusiaan (Ketua Bidang) dan Galleri Sejarah berada di bawah bidang saya dan kawalan saya. Justeru itu, saya telah mencadangkan dan meminta ketua panitia Sejarah saya supaya berpindah ke Galeri Sejarah dengan niat agar beliau dapat mengemaskini dan menjaga bilik berkenaan. Saya berbincang dengan beliau dan beliau bersetuju. Namun, apa yang menjadi persoalannya ialah pada masa berkenaan guru yang membuat fitnah ini menggunakan galeri berkenaan sebagai bilik beliau.

Saya berjumpa dengan beliau dan bercakap secara telus , memaklumkan cadangan saya itu . Saya maklumkan lagi, disebabkan beliau juga adalah Ketua Bidang dan setiap ketua bidang mempunyai bilik masing-masing, wajarlah beliau duduk di bilik beliau dan Galeri berkenaan diuruskan oleh ketua panitia sejarah.

Beliau bersetuju dan menyatakan tiada sebarang halangan dan akur hakikat keperluan guru panitia sejarah untuk berada di bilik galeri berkenaan.

Namun di sebalik persetujuan, senyuman dan kata manisnya, tersimpan dendam dan hasat dengki yang tidak habis dan tidak puas hati dengan fitnah pertamanya dahulu yang tidak ‘begitu menjadi’.

Cerita saya memaksa guru ketua panitia ini berpindah tersebar dengan cepatnya dan sampai ke telinga saya.

Perkara pertama yang saya lakukan adalah , saya berjumpa dengan guru panitia saya itu dan bertanyakan adakah benar saya memaksanya selama ini! Beliau menegaskan ‘tiada’ dan beliau juga hairan bagaimana cerita saya memaksanya itu tersebar.

Kemudiaannya , saya berjumpa dengan GPK 1 dan GPK Hem saya bertanyakan perkara berkenaan. Kedua-dua mereka mengakui bahawa guru tersebutlah yang memberitahu cerita tersebut kepada mereka, namun mereka tidak mempercayainya kerana mereka kenal siapa saya! Mereka juga mengakui bahawa pengetua juga telah dimaklumkan oleh guru berkenaan dan mereka tidak mampu mempengaruhi pengetua untyuk tidak mempercayai cerita tersebut kerana pengetua amat rapat dengan guru berkenaan yang juga merupakan jiran sebelah rumah.

Pada saat itu, saya amat marah dan terasa dipermainkan oleh guru berkenaan. Saya menunggu saat untuk saya berjumpa pengetua dan ingin membawa guru berkenaan bersama untuk menjelaskan keadaan sebenarnya.

Saat yang dinantikan tiba apabila pada suatu pagi saya berjumpa dengan pengetua di pejabat. Pengetua yang Nampak wajah saya yang dalam keadaan marah dan tahu apa yang ada di dalam kepala saya ketika itu, terus memberitahu untuk berjumpa saya pada jam 9 pagi di bilik Galeri sejarah. Saya menyatakan kepada pengetua, “ Memang saya nak bercakap dengan cikgu!. Saya harap orang yang menyebarkan fitnah ini turut sama supaya dapat dibuktikan siapa yang salah dan siapa yang benar!”.

Pada waktu yang dijanjikan saya ke Galeri Sejarah. Sudah berada di situ, Pengetua, ketua panitia Sejarah dan guru yang menyebarkan fitnah tersebut. Saya memulakan pertemuan itu dengan menanyakan guru berkenaan

“ Apa yang saya beritahu dengan cikgu sebelum ini? , kata saya dengan nada yang marah
“ cikgu, saya maklumkan pada cikgu cadangan saya supaya Ketua Panitia ini turun ke Galeri Sejarah supaya dapat membantu menjaga bilik berkenaan atas dasar dia sebagai Ketua Panitia. Betul tak saya kata begitu?  kata saya sambil memandang tepat kepada guru berkenaan.

“Dan cikgu menjawab, tiada masalah dan memang patut dia ke Galeri Sejarah , sebagai ketua Panitia.  Betul tak begitu cikgu?”, kata saya lagi.

Kemudian saya terus menoleh kepada Ketua Panitia Sejarah berkenaan.

“ Cikgu, Tolong bagitau perkara sebanar!. Adakah saya memaksa cikgu turun ke Galeri Sejarah? Ada atau tidak saya bertanyakan pendapat cikgu dan minta persetujuan cikgu?”

Ketua Panita saya menjawab bahawa memang tidak pernah saya memaksa beliau turun ke Galeri dan menyatakan bahawa beliau yang bersetuju secara sukarela demi menjaga galeri berkenaan.

Ketika itu, guru berkenaan senyap dan tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun.

Namun sesuatu yang tidak saya jangkakan ketika itu berlaku apabila , pengetua mempersoalkan kenyataan guru berkenaan dan menuduh saya memang memaksa ketua panitia saya itu.

“Mungkinlah pada masa ini dia (Ketua Panitia) tak berani bercakap benar!’, katanya soalah-olah menyokong fitnah yang disebarkan oleh guru berkenaan.

Ketika itu, saya terasa sungguh kecewa terutama dengan sikap pengetua yang tidak mempercayai saya dan menyokong fitnah yang dilemparkan kepada saya .

Ketika itu juga saya menjawab kata-kata pengetua itu dengan nada yang penuh kecewa dan marah.

‘Cikgu, tolong tanyakan cikgu panitia ini, cikgu! Dia ada di depan cikgu. Kenapa tuduh saya seperti itu?”

Ketika itu juga, guru panitia berkenaan mengulangi kata-katanya sebelum ini.

“ Memang saya akui, cikgu omar tak pernah paksa saya dan buat apa-apa ugutan terhadap saya. Saya rela turun ke Galeri dan berasa wajar saya berbuat demikian demi kebaikan Galeri berkenaan.”

Saya lihat ketika itu pengetua dan guru penyebar fitnah itu seakan-akan tersentak dengan jawapan guru panitia berkenaan.

“ Cikgu, kalau cikgu nak naik , tolong jangan fitnah orang. Tolong jangan pijak kepala orang! Jangan suka fitnah orang dan jangan berperangai seperti budak-budak. Cikgu sebagai Ketua Bidang , tapi perangai macam budak-budak. Sikit-sikit mengadu. Sikit mengadu. Tak boleh berbincang kah dengan saya! Kalau macam ini sikap cikgu, memang tak layak jadi ketua bidang!..

“ Saya tak kisahlah cikgu tentang jawatan . kalau cikgu nak ambil jawatan saya , ambillah. Ingat cikgu, kali ini cikgu fitnah saya, suatu masa nanti Allah akan balas dengan lebih teruk dan hina daripada perbuatan cikgu ini!“ , kata saya menghamburkan apa yang terbuku di hati saya ketika itu. Saya tidak peduli apa yang akan berlaku daripada kata-kata saya itu, namun yang nyata , saya amat kecewa dengan sikap guru berkenaan dan sikap pengetua yang ternyata berat sebelah…

Sebaik habis bercakap, saya terus keluar meninggalkan bilik berkenaan.

Sekembalinya ke bilik saya, saya di datangi oleh Ketua Panitia Sejarah tersebut. Beliau menyatakan kekesalan akan isu yang timbul dan memohon maaf. Saya tidak menyalahkan beliau dan menganggap bahawa beliau juga adalah mangsa di dalam kes tersebut. Namun suatu perkara yang disampaikannya membuatkan saya terasa amat kesal.

“Tadi selepas cikgu keluar, pengetua ada menyatakan kepada saya” , katanya

“pengetua memaklumkan bahawa bukan dia nak menangkan cikgu berkenaan atau menyalahkan cikgu, tetapi disebabkan cikgu berkenaan adalah jiran beliau, maka pengetua terpaksa berpihak kepada cikgu berkenaan!”.

Pada saat itu, saya terasa amat kecewa. Saya beritahu Ketua panitia saya itu, “ Kalau begitulah sikap pengetua, bermula daripada sekarang saya hilang rasa hormat kepada beliau sebagai seorang ketua!” , kata saya menamatkan pertemuan tersebut.

Sejak hari itu, sikap dan perhubungan saya dengan pengetua dan guru berkenaan berubah samna- sekali. Namun apa yang membanggakan saya ialah, semua rakan-rakan dan guru-guru lama yang ada di sekolah berkenaan, menyokong saya dan yakin bahawa saya menjadi mangsa fitnah guru berkenaan yang ternyata menjadi pemecah belah perpaduan di sekolah berkenaan. Saya hanya mampu berdoa agar Allah balas segala perbuatannya kepada saya …


FITNAH KETIGA

Menjelang peperiksaan SPM dan PMR iaitu sekitar bulan Oktober, menjadi kebiasaan bagi setiap sekolah mengadakan majlis baca yasin dan solat hajat bagi memohon keberkatan dan pertolongan Allah bagi kejayaan pelajar . Di sekolah , saya diberikan amanah untuk menjayaakan program berkenaan memandangkan ia termasuk di bawah bidang tugas saya sebagai Ketua Bidang Kemanusiaan. Saya ambil tanggungjawab demi tugas .

Majlis pada malam itu hanya menjemput para guru dan ibu bapa serta pelajar terlibat. Telah diputuskan tiada tetamu istimewa yang dijemput termasuklah YTM Dato Undang Luak……yang mempunyai anak di tingkatan 5 , di sekolah tersebut. Sebelum hari berkenaan , saya telah mendapatkan kepastian kepada anak beliau, bahawa bapanya tidak akan hadir.

Pada hari berlangsungnya majlis tersebut aktiviti dan sambutan diadakan secara sederhana kerana tiada tetamu istimewa.

Namun , tanpa diduga, ketika majlis berlangsung, saya dapati YTM Undang Luak ….telah berada di dalam majlis berkenaan dan tiada sesiapapun yang memaklumkan kepada saya atau pihak sekolah.

Namun, sebagai pengacara pada malam itu, saya sempat mengalu-alukan akan kehadiran YTM Undang dan menggunakan bahasa yang sesuai dengan kehadiran beliau. Cuma pakaian saya mungkin tidak begitu sesuai dengan hanya memakai baju melayu dan berseluar panjang tanpa samping lengkap.

Majlis berlangsung dengan jayanya dan selepas tamat majlis saya sempat berjumpa dengan YTM dan memohon maaf kerana tidak maklum akan kehadiran beliau . YTM mengangguk faham dan menyatakan tak mengapa dan memaklumkan bahawa kehadirannya ke majlis itu , hanya sebagai penjaga kepada anak beliau.

Saya berasa gembira dengan jawapan beliau dan mengucapkan terima kasih. YTM ini sebelum menjadi Dato Undang, adalah merupakan Naib YDP PIBG di sekolah berkenaan dan memang sudah biasa dan kenal akan saya. Apatah lagi anak beliau merupakan pengawas sekolah berkenaan. Sehinggalah lebih kurang 2 minggu berlangsungnya majlis berkenaan, tiada sebarang rungutan atau komplen yang diterima daripada mana-mana pihak termasuklah PPD atau JPNS.

Namun ternyata, air yang tenang, jangan disangka tiada buaya!

Tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan oleh pengetua menyatakan bahawa beliau menerima surat daripada pejabat YTM Undang yang menyatakan rasa tidak puas hati beliau terhadap majlis baca yasin yang berlangsung. Antara ketidakpuasan hati yang dinyatakan ialah:

  1. Tidak berpakaian baju melayu lengkap/ bersamping
  2. Tidak menggunakan bahasa yang sesuai ketika ucapan terhadap YTM Undang

Saya terus meminta kepada pengetua untuk melihat surat berkenaan. Pada mulanya beliau enggan menyerahkannya , namun apabila saya mendesak, beliau menyerahkan kepada saya. Terlihat sahaja surat berkenaaan, saya yakin bahawa ini merupakan satu lagi fitnah yang dilakukan oleh guru berkenaan kepada saya dan ternyata dendamnya kepada saya masih belum tamat.

Saya nyatakan kepada pengetua , bahawa, saya tahu siapa yang melakukan fitnah ini. “:Surat ini adalah suatu fitnah. Buktinya mudah ,”kata saya kepada pengetua

“ Pertama, kalau betullah YTM Undang marah kepada saya, beliau tidak akan hantar surat layang seperti ini. Beliau mesti memanggil saya mengadap ke Balai Undang, “ kata saya lagi

“Kedua, surat daripada pejabat YTM Undang adalah berwarna kuning dan bukannya seperti surat tersebut yang menggunakan kertas biasa tanpa kepala surat pejabat YTM Undang..”. Pengetua terdiam mendengar penjelasan saya itu.

“Saya tahu siapa yang punya kerja ini . Ternyata orang ini tidak berpuashati dengan kegagalan dia memfitnah saya sebelum ini,” kata saya sambil berlalu.

Perasaan saya ketika itu ternyata amat kecewa dan marah. Saya beritahu kepada beberapa orang rakan sekerja. Mereka ternyata terperanjat dan hairan dengan sikap guru berkenaan.

Saya bertekad untuk melepaskan kemarahan saya di dalam mesyuarat guru yang bakal diadakan pada  minggu terakhir sebelum cuti persekolahan.

Ketika itu juga, saya menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana pada minggu pertama cuti persekolahan itu. Namun, hasrat saya untuk menhamburkan rasa tidak puas hati terutamanya kepada guru berkenaan tidak kesampaian kerana dinasihati oleh rakan-rakan. Saya hanya memberitahu rakan-rakan, “Tidak mengapalah..saya serahkan kepada Allah untuk balas perbuatannya.”

Pada tahun 2003, saya kembali semuala ke sekolah berkenaan sebagai GPK 1. Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan bahawa guru berkenaan telah dipindahkan ke sebuah sekolah di daerah lain. Sebab perpindahan dikatakan kerana terbabit dengan surat yang dihantar oleh pelajar tingkatan 6 ke Kementerian Pelajaran Malaysia. Guru ini dikatakan dituduh oleh pelajarnya tidak masuk mengajar dan meraba pelajar perempuan ketika mengajar! Subhanallah…saya bersyukur kerana doa saya dimakbulkan Allah dan kebenaran akhirnya terbukti…












4 comments:

Unknown said...

allah maha adil...

Unknown said...

kisah cikgu hampir sama dgn nasib saya...hasad dengki rakan sekerja

Unknown said...

kisah cikgu hampir sama dgn nasib saya...hasad dengki rakan sekerja

Unknown said...

Sy difitnah oleh warden dan guru disiplin..mereka memberitahu kpd pengetua tentang perbuatan buruk yg sy xpernah buat..sesiapa sahaja yg mempertahankn diri akn dianggap sebagai kurang ajar dan akn dibuang

Post a Comment

Never Give Up-

STEPHEN COVEY- 10/90 PRINCIPLE