ANTARA PERATURAN..HUKUMAN DAN BAGAIMANA MELAKSANAKANNYA...

Sepanjang penglibatan sebagai guru selama lebih 30 tahun (sehingga kini), saya banyak melibatkan diri dan di'arah'kan untuk mejalankan tugas sebagai Ketua Guru Disiplin dan membantu urusan disiplin.

Sepanjang 30 tahun itu, saya telah memegang jawatan sebagai Ketua Guru Disiplin selama 12 tahun berturut-turut, menjawat jawatan GPK HEM sebanyak 2 kali dan Ketua Bidang ,  Penyelia petang dan GPK Pentadbiran. Walaupun jawatan-jawatan tersebut ada yang tidak berkaitan dengan disiplin secara terus, namun saya telah diminta untuk membantu urusan disiplin. Ke mana saja saya pergi berkhidmat, pengetua sekolah berkenaan akan meminta saya membantu urusan disiplin kerana mereka mendapat maklumat daripada bekas pengetua saya . Saya mengambil tugas itu sebagai cabaran dan beranggapan ia sebagai amal jariah kerana saya mungkin ada kepakaran dalam bidang itu....

Seperkara yang saya belajar berkaitan dengan perlaksanaan disiplin ialah bagaimana menghadapi isu perlaksanaan disiplin secara yang harmonis dan praktikal.

Di kebanyakan sekolah, antara isu yang sering dikaitkan dengan disiplin ialah:

1. Pelajar tidak akur dengan arahan
2. Pelajar seringkali tidak berpuashati terhadap tindakan yang dikenakan kepada mereka.
3. Masalah disiplin sukar di atasi/ dibasmi
4. Pelajar berdendam dengan guru.

Saya telah beberapa kali mengikuti kursus dan membaca buku mengenai disiplin yang ditulis oleh beberapa penulis. kebanyakannya hanya membicarakan isu berkaitan dengan teori disiplin iaitu, Apa itu Disiplin, punca Berlakunya Masalah Disiplin, bagaimana mengatasinya, dan sebagainya. Namun jarang yang kita dapati kaedah dan perlaksanaan disiplin secara praktikalnya...

Pada pemerhatian saya selama  ini ada beberapa isu berkaitan disiplin yang seringkali diabaikan. Antaranya ialah:

1. Pelajar tidak tahu  peraturan

2. Pelajar tidak tahu hukuman

3. Pelajar tidak diberi tempoh di dalam mematuhi peraturan itu.

4. Tiada ketegasan di dalam tindakan/ pilih kasih/ cakap tak serupa bikin


1. Pelajar tidak tahu peraturan

Memang kita akui  bahawa setiap sekolah mempunytai peraturan sekolah. Namun perkara yang menjadi isu iailah tidak adanya aktiviti pembudayaan di dalam memberikan kefahaman kepada para pelajar terhadap peraturan tersebut. Peraturan sekolah hanya berada di dalam buku peraturan sekolah yang jarang sekali dirujuk dan dibaca oleh para pelajar. Ada sesetengah sekolah, buku peraturan sekolah ini langsung tidak diwajibkan untuk dimiliki oleh para pelajar. Justeru itu , kebanyakan pelajar tidak tahu apa yang 'boleh" dan apa yang 'tidak boleh' dilakukan di sekolah. Kalau adapun, mungkin tidak melibatkan keseluruhan peraturan tersebut.

Justeru itu, harus ada aktiviti pembudayaan di peringkat sekolah untuk memastikan agar seluruh peraturan sekolah itu di sebarluas dan dimaklumkan kepada semua pelajar. Terdapat beberapa cadangan aktiviti yang boleh dilaksanakan; Antaranya ialah:

a. Mengadakan satu ruang masa semasa perhimpunan sekolah untuk membacakan peraturan sekolah mengikut fasal-fasal tertentu.

b. Menyebarluaskan melalui TVMedia/ poster/ banner , buletin dan sebagainya

c. Menyebarluas melalui ICT seperti di dalam Facebook, SMS, email, blog , web dan sebagainya.

d. Mengadakan kuiz/ forum/ perbahasan/ sudut pidato disiplin pada hari-hari tertentu

e. Melalui ucapan GPK Hem atau pengetua/ Guru besar semasa perhimpunan dan sebagainya.

Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk memastikan supaya semua pelajar tahu kesalahan mereka dan memahami kepada mereka dikenakan tindakan disiplin.



2. Pelajar Tidak Tahu Hukuman

Seringkali di sekolah, kita terlalu banyak memberikan dan memaklumkan peraturan bagi setia perkara atau aktiviti yang dilakukan. Umpamanya dalam isu kehadiran. seringkali kita mendengar guru memberitahu,

"kamu mesti datang awal ke sekolah selewat-lewatnya pada jam 7.15 pagi. "
" kamu hanya boleh keluar kelas dengan kebenaran guru
"kamu tidak boleh makan sambil berjalan' , dan pelbagai peraturan lain lagi.

Namun, kita sering terlupa untuk menyatakan apakah hukuman ataupun tindakan yang akan dikenakan apabila peraturan itu dilanggar . Memang diakui ada sebahagian peraaturan ini sudah dinyatakan bentuk hukumannya, seperti merokok, ponteng sekolah mengikut bilangan hari dan sebagainya. Namun,, banyak lagi peraturan-peraturan umum yang tidak dinyatakan bentuk hukuman secara jelas.

Justeru itu, pelajar sering keliru dan terpinga-pinga apabila hukuman dikenakan kepada mereka sedangkan mereka tidak dimaklumkan apakah bentuk hukuman yang bakal mereka terima. hal inilah yang sering mengakibatkan pelajar berasa tidak berpuasa hati dan menentang hukuman tersebut. Justeru itu, setiap peraturan mestilah dinyatakan hukumannya.

Hakikat ini benar kalau kita renungi akan peraturan yang ada di negara kita. cuba banyangkan jika rakyat tidak dimaklumkan hukuman bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat. Sudah pastilah mereka akan mengambil mudah terhadap peraturan itu atau berasa marah jika diambil tindakan tanpa kengetahui hukuman yang telah ditetapkan. oleh itu, konsep yangsama haruslah dilakukan di dalam perlaksanaan peraturan disiplin di sekolah.

3. Pelajar tidak diberi tempoh di dalam mematuhi peraturan itu.

Salah satu lagi senario yang biasa ditemui di sekolah ialah, sikap tidak sabat di dalam melaksanakan peraturan dan pelajar tidak diberikan tempoh masa yang sesuai untuk mengambil tuindakan terhadap peraturan tersebut. tempoh masa ini penting supaya pelajar dapat memahami peraturan tersebut atau menghayatinya serta memahami kenapa peraturan itu perlu dipatuhi. Ia juga penting agar tindakan untuk mematuhi peraturan ini mesti datangnya daripada diri pelajar sendiri iaitu bermaksud ia menjadi pilihan sendiri para pelajar dan suatu tindakan yang dikenakan ke atas diri mereka.

Perkara ini amat penting. Ini kerana di dalam melaksanakan sesuatu peraturan , perkara penting yang kita dikehendaki ialah peraturan tersebut diterima dan dilakukan oleh pelajar secara sukarela. hal ini akan dapat mengurangkan bebanan guru untuk menghukum mereka atau guru dianggap sebagai penjatuh hukuman seperti tukang gunting rambut, tukang sebat dan sebagainya.

Di dalam perlaksanaan disiplin, kita mestilah memegang prinsip bahawa:
1. Guru adalah pendidik dan bukan penghukum.
2. Seboleh mungkin tiada pelajar yang perlu dihukum jika semuanya boleh mematuhi peraturan secara sukarela.
3. Jika ada pelajar yang telah  dihukum  , maka ia seharusnya menjadi hukuman yang terakhir buat diri mereka. Ini bermaksud , seharusnya mereka tidak akan melakukan kesalahan lagi dan tidak perlulah guru merotan mereka lagi kerana tugas guru bukan tukang sebat seperti di penjara yang terpaksa merotan pesalah setiap hari.

Justeru itu, seboleh-bolehnya berikanlah tempoh masa yang sesuai bagi membolehkan mereka mengambil inisiatif untuk mematuhi peraturan tersebut.

Saya teringat semasa menjadi guru disiplin di sekolah lama saya dahulu. setiap kali sekolah dibuka, saya akan memberikan masa selama 2 minggu untuk pelajar mematuhi peraturan berkaitan rambut. Saya maklumkan corak potongan rambut yang dibenarkan dan bentuk hukuman yang akan dikenakan. Di samping itu , saya menawarkan potongan rambut secara percuma di sekolah dalam jangka masa tersebut sebagai galakan kepada pelajar. Dalam tempoh tersebut juga saya akan terus-terusan memaklumkan kepada para pelajar akan peraturan tersebut dan hukumannya setiap hari sebagai peringatan terhadap mereka.  Setelah tempoh yang ditetapkan tamat, saya terus mengambil tindakan kepada mereka yang ingkar. Selalunya, pelajar -pelajar yang ingkar ini akan dapat menerima tindakan guru kerana meraka telah diberi peluang yang secukupnya.









0 comments:

Post a Comment

Never Give Up-

STEPHEN COVEY- 10/90 PRINCIPLE